Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Mas Ermieyati mahu kembalikan populariti Tanjung Bidara pusat pelancongan negara -

[VIDEO] Mas Ermieyati mahu kembalikan populariti Tanjung Bidara pusat pelancongan negara

SEKTOR pelancongan di Tanjung Bidara akan diberikan nafas baharu bagi mengembalikan populariti daerah itu sebagai tarikan utama pelancongan negeri Melaka yang pernah dikecapinya pada tahun 80-an dahulu.

Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Tanjung Bidara telah lama ‘dilupakan’ namun sebenarnya mempunyai banyak potensi untuk diketengahkan sekaligus menjana ekonomi penduduk setempat.

“Jadi yang dapat impak siapa? Orang kampung sini. Apabila ada penjanaan ekonomi berlaku maka kita dapat sediakan makanan atas meja. Keluarga kita pun dapat duit dalam poket. Itu yang pertama,” katanya kepada SatuBerita.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Calon PN DUN Tanjung Bidara Mas Ermieyati

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, perkara lain yang akan diberikan tumpuan nasib golongan anak muda yang mewakili 40 peratus daripada jumlah pengundi Tanjung Bidara yang banyak terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ini golongan yang bekerja dan golongan ini terkesan juga akibat dibuang kerja. Jadi kita harapkan dengan adanya perancangan, peluang-peluang perniagaan sama ada beri kepada orang muda, wanita, OKU, belia dan sebagainya itu dapat memberikan sedikit sinar harapan kepada mereka untuk sama-sama berdepan dengan fasa endemik,” katanya.

Mas Ermieyati menambah, masalah keciciran pendidikan dalam kalangan kanak-kanak akibat pandemik Covid-19 juga akan terus diberikan perhatian dengan menerus dan menambah baik program sedia ada.

Selain itu katanya, program-program galakan kecemerlangan pendidikan juga akan ditingkatkan bagi membantu kanak-kanak kampung yang memerlukan.

“Sebab dulu saya anak kampung, jadi galakan saya dapat daripada ayah saya. Macam mana pula anak-anak kampung yang tidak ada pembakar semangat, ayah dia mungkin keluar ke laut atau mungkin ada yang anggap perkara itu tidak penting. Jadi kita masyarakat keliling, pemimpin tempatan, masyarakat tempatan kena bagi galakan.

“Macam mana nak bagi galakan, selain kata-kata semangat, insentif juga perlu. Jadi program kecemerlangan ini perlulah kita jadikan sebagai insentif supaya anak-anak kampung ini dapat merasakan bahawa apa jua yang mereka lalui itu sebagai satu dorongan untuk mereka pergi lebih jauh ke hadapan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, Mas Ermieyati akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Pada PRN 2018, DUN Tanjung Bidara yang mempunyai 10,133 pengundi berdaftar dimenangi calon BN, Datuk Md Rawi Mahmud dengan majoriti 2,864.

TANJUNG Bidara mempunyai banyak pantai berpotensi menjadi produk pelancongan utama.