SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) kekal dengan arahan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun dianggap ketat oleh pelbagai pihak dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebaliknya, SPR menasihatkan semua pihak termasuk parti politik sama ada calon baharu atau lama untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang kempen PRN itu.
SPR dalam satu kenyataan hari ini berkata calon dan parti terbabit perlu lebih proaktif dan kreatif dalam berkempen dan tidak menyalahkan SOP ketat memandangkan situasi itu perlu dikawal bagi memastikan keselamatan semua pihak.
“Semua pihak perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dalam tempoh berkempen kali ini bagi mengawal penularan wabak COVID-19 demi memastikan keselamatan semua pihak terpelihara.
“SPR menyarankan agar parti politik perlu lebih proaktif dan kreatif seperti penggunaan media sosial dan digital sebagai medium alternatif untuk mendekati rakyat,” katanya.
PRN Melaka menyaksikan 112 calon layak bertanding, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Tidak seperti hari penamaan calon sebelum, tiada suasana seperti biasa kerana perarakan dan perhimpunan ramai tidak dibenarkan di bawah SOP yang dikeluarkan SPR.
Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 28 calon; Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22) pada PRN kali ini.
Pelbagai pihak termasuk parti bertanding sebelum ini dilaporkan meminta SPR melonggarkan sedikit SOP kempen PRN itu bagi memudahkan kempen mereka. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.