SEREMBAN, 9 Nov (Bernama) — Polis Negeri Sembilan melupuskan pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses dadah bernilai lebih RM23.5 juta membabitkan 1,469 kertas siasatan yang telah selesai, yang dirampas sejak 2010.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Negeri Sembilan, Superintendent Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata barangan berkenaan adalah hasil rampasan dalam serbuan di negeri itu, yang masih tersimpan di stor barang kes bahagian narkotik.
“Pelupusan barang kes pada kali ini melibatkan lapan jenis dadah iaitu Erimin 5 sebanyak 308,000 gram (g), daun ketum (26,000g), ganja (11,200g), syabu (7,200g), heroin (5,200g), pil ekstasi (247g), ketamin (215g) dan air ketum (50 liter) serta sembilan item peralatan memproses dadah,” katanya selepas Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada Selasa.
Dalam pada itu beliau berkata, jumlah tangkapan melibatkan pelbagai jenis kesalahan dadah berbahaya menunjukkan penurunan kepada 4,334 tangkapan pada Januari hingga Oktober lepas, berbanding 5,742 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.
Mohd Faisal berkata jumlah itu membabitkan 2,302 penagih dadah, pengedar dadah (1,298) dan pemilikan dadah (734) dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM2.6 juta, serta nilai sitaan aset pengedar lebih RM5.5 juta.
Bagaimanapun katanya, aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini masih terkawal selain tumpuan utama diberikan terhadap kawasan Felda, ekoran 30 peratus daripada tangkapan melibatkan individu daripada kawasan tersebut.
“Mereka yang boleh dipulihkan akan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta kerjasama daripada ketua kampung supaya diberi peluang kerja. Tiada lokasi di negeri ini dijadikan pangkalan besar aktiviti itu dan majoriti mendapatkan bekalan dari negeri berhampiran,” katanya. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.