SESUAI dengan kepakarannya dalam ilmu konservasi dan arkeologi dasar laut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menubuhkan sebuah pusat latihan arkeologi dasar laut di Pusat Penyelidikan Marin Pulau Bidong di sini.
Naib Canselornya, Prof Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, pusat itu terbuka kepada mereka yang berminat untuk mendalami bidang tersebut termasuk dari negara-negara serantau.
Selain itu, penubuhan pusat berkenaan turut berkait rapat dengan penemuan sebuah kapal karam pada beberapa tahun lepas yang masih dalam proses kajian dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara.
“Di UMT kita ada tenaga pakar dalam bidang penggalian dan konservasi artifak dasar laut yang sangat rumit dan kompleks prosesnya.
“Bagaimanapun kita sangat bertuah kerana memiliki rakan strategik yang banyak membantu dari aspek teknikal serta peralatan penggalian dasar laut yang canggih,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mazlan berkata, kursus di bawah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin itu akan ditawarkan secara terbuka dan pelajar berpeluang meraih pengalaman di lapangan.
“Kita ada artifak kapal karam yang kedalamannya hanya 18 meter daripada permukaan laut dan boleh dijangkau oleh penyelam skuba rekreasi. Jadi ia sesuai untuk pembelajaran di lapangan,” jelasnya.
Menurut Mazlan, pihaknya juga mendapatkan kerjasama pakar arkeologi dari Kemboja dan Thailand bagi menyelidik secara lebih terperinci sejarah artifak terbabit.
Tambahnya UMT juga menyasarkan untuk menjadikan kursus tersebut sebagai sumber kewangan dalam jangka masa panjang. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.