BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi diarah Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk membela diri bagi 37 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 2017.
Selain Abdul Latif, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub turut diarah untuk membela diri atas pertuduhan sama.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan perkara itu selepas prosiding hari ini selesai sekaligus mengenepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan ketiga-tiga mereka.
Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keputusan terdahulu oleh Mahkamah Sesyen adalah salah.
“Mahkamah Sesyen telah tidak mempertimbangkan banyak isu-isu penting dalam kes tersebut dan Hakim juga telah menetapkan jaminan berjumlah RM1.1 juta untuk ketiga-tiga tertuduh dengan cagaran tanah,” katanya.
Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan jumlah lebih RM30 juta.
Selain itu, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan selepas ketiga-tiga mereka pada 14 Jun 2017 dihadapkan dengan empat pertuduhan melibatkan aktiviti terbabit.
Sebelum itu, mereka masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, peguam tertuduh, Datuk Salehuddin Saidin berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu bukan pengakhiran buat anak guamnya.
Beliau berkata akan terus mewakili anak guamnya bagi membuktikan tidak bersalah atas segala pertuduhan dikenakan memandangkan ketiga-tiga mereka ketika ini belum dibuktikan bersalah.
“Apa yang perlu saya tekankan anak guam kami telah menghormati proses undang-undang dan mereka akan hadir ke mahkamah walaupun jumlah jaminan telah dikurangkan kepada RM1.1 juta,” jelasnya.
Dalam pada itu, Salehuddin turut memberitahu anak guamnya akan membayar wang jaminan tersebut menggunakan cagaran tanah.
Beliau bersama-sama Hasnal Redzua Merican merupakan peguam kepada ketiga-tiga mereka, manakala barisan pendakwaan disertai Wan Shaharuddin; Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong.
Mahkamah kemudian turut menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.