HOSPITAL Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menafikan dakwaan bahawa bekalan ubat-ubatan di hospital itu terputus ekoran pandemik Covid-19 seperti yang tular.
Memo dalaman tersebut bertujuan untuk persediaan awal dengan disusuli tindakan yang terancang bagi mengatasi masalah gangguan bekalan ubat.
Pengarah HRPB, Dr. Abdul Malek Osman berkata memo berkenaan dikeluarkan untuk edaran dan makluman Ketua Jabatan HRPB Ipoh sahaja berkaitan gangguan ubat-ubatan di peringkat global dalam mengelakkan putusnya perawatan pesakit.
“Permintaan penggunaan ubat yang tinggi untuk rawatan pesakit COVID-19 di seluruh dunia telah menyebabkan sebahagian besar ubat-ubatan untuk rawatan COVID-19 meningkat secara mendadak sejak Mei lepas, iaitu dalam kadar enam hingga 11 bulan peningkatan kuantiti penggunaan daripada kebiasaan.” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, bekalan ubat-ubatan tersebut tidak terputus sepenuhnya dan dibekalkan secara berperingkat.
Beliau juga berkata pihak hospital komited bagi memastikan situasi ini dipantau berterusan dan sebarang isu diselesaikan dengan sebaiknya.
“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kementerian untuk mengatasi masalah ini seperti membuat perolehan darurat, bekerjasama dengan pembekal-pembekal kontrak untuk mencari sumber-sumber alternatif dan berbincang dengan Ketua Pakar Penyakit Berjangkit berhubung ubat-ubat alternatif lain yang dapat digunakan untuk memastikan kesinambungan rawatan kepada pesakit dapat diteruskan,” katanya menerusi laporan Bernama.
Isu mengenai memo HRPB berkenaan telah tular dan disiarkan sebuah portal media dalam talian pada Khamis lalu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.