KPKT pertimbang elaun tambahan kepada Bomba – Zuraida

KERAJAAN sedia mempertimbangkan cadangan pemberian elaun tambahan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang terlibat secara langsung dengan pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ini memandangkan skop penugasan anggota JBPM terutamanya Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) diperluaskan ketika ini seperti pengurusan serta pengebumian jenazah COVID-19 sekali gus mendedahkan mereka dengan risiko wabak itu.

“Pada asalnya, mereka sudah mempunyai elaun khas tetapi apabila berhadapan dengan tugas membabitkan COVID-19 seperti pengurusan serta pengebumian jenazah, ini sebenarnya bukan tugasan bomba.” katanya.

“Namun, saya beranggapan bahawa perkara ini (elaun tambahan) boleh saya ketengahkan dan mempertimbangkannya kerana risiko yang dihadapi anggota bomba,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan rasmi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Belah, di sini hari ini.

Turut hadir pada lawatan rasmi berkenaan ialah Pengarah JBPM Kelantan Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Jainal @ Zainal Madasin yang menyambut baik maklum balas Zuraida berhubung elaun tambahan itu kerana ia mampu memberi motivasi serta penghargaan kepada anggota bomba. – SB