DUNIA semakin berubah tetapi nampak donya segelintir anak seni masih berada di takuk yang lama apabila soal bayaran. Ini hakikat yang masih lagi dihadapi oleh segelintir artis tempatan apabila mereka masih ditawarkan bayaran dengan harga yang jauh lebih murah oleh pihak produksi.

Pendedahan tersebut dibuat oleh pelakon veteran, Fauziah Nawi yang kecewa dengan pihak tersebut yang menawarkan bayaran tidak setimpal kepada pelakon muda baru-baru ini.
“Ada patut ke 20 episod dibayar RM5,000 sahaja. Satu episod jatuh RM250… Ya Allah, kejamnya,” kata seniwati yang berusia 58 tahun ini.

Jelasnya perkara tersebut berlaku kepada pelakon muda yang datang merujuk kepadanya tentang soal bayaranterk. Sebagai orang berpengalaman pastinya dia terkejut dengan harga yang ditawarkan.
Baginya harga tersebut cukup kejam dan menganiaya mereka yang langsung tidak tahu apa-apa tentang bayaran dan perkara sebegini tidak seharusnya berlaku lagi.
“Zaman dahulu sekitar tahun 1980-an, satu episod boleh dapat bayaran RM800 kenapa sekarang turun sampai RM250? Kenapa pedajal rezeki orang lain sampai begini? Tak baik bagi cerminan buruk pada orang baharu,” tegasnya lagi.
Sejujurnya masalah yang dibangkitkan oleh Fauziah bukanlah perkara baharu dalam industri. Kebanyakan produksi memang ‘berkira’ soal bajet dan hanya melabur angka yang besar kepada pelakon popular yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial.
Hakikat ini turut diakui pelakon serba boleh ini yang menganggap segelintir produksi bersikap pilih kasih dan hanya melaburkan wang untuk mereka yang berpengaruh sahaja.

“Kalau instafamous mereka boleh bayar sampai RM3,000 hingga RM5,000 untuk satu episod. Untuk orang yang ada ilmu seni aniaya dengan bayaran tak masuk akal. Pelakon tambahan lagilah, dibayar serendah RM80 untuk satu episod, belum ditolak harga ejen.
“Saya sedih bila budak-budak baharu yang penuh semangat mengadu tentang hal tersebut. Ada juga pelakon lama terima nasib yang sama. Sampaikan saya fikir, kalau sudah tua bersara sahajalah sebab tidak akan dihargai,” katanya yang berharap beberapa persatuan yang menaungi anak seni akan mengambil perhatian mengenai isu ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.