
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan pegawai dan anggotanya di lapangan bagi memantau proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, satu pasukan telah dibentuk bagi tujuan itu yang akan menumpukan pemantauan terhadap proses penamaan calon, kempen dan hari pengundian.
“Dalam tempoh pilihan raya ini ia tertumpu kepada pemantauan dari segi kawalan dan pencegahan rasuah yang melibatkan elemen-elemen rasuah atau guna kuasa ketika di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pembudayaan Integriti-Hijaukan Bumi SPRM dan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, penamaan calon pada 8 November manakala undi awal pada 16 Nov ini.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.