Pemilik ‘Timah’ setuju pertimbang tukar nama

SYARIKAT pengeluar minuman keras jenama ‘Timah’ setuju untuk menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka selepas penggunaannya dibantah masyarakat beragama Islam di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan itu dicapai pada satu mesyuarat yang melibatkan beberapa orang Menteri dengan Syarikat pengeluar arak jenama ‘Timah’ iaitu Winepark Corpration (M) Sdn.Bhd.

Menurutnya, beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat ituyang turut disertai Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Hj Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA), Abdul Wahid Abu Salim dan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar.

Wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga turut hadir.

“Melalui perbincangan yang telah diadakan, syarikat Winepark Corporation (M) Sdn. Bhd. telah memohon tempoh satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mereka bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka.

“Perkara berkenaan adalah antara hasil keputusan yang telah dicapai dalam pertemuan wakil syarikat berkenaan bersama
pihak kerajaan semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, pertemuan secara hybrid itu diadakan dalam suasana harmoni menghayati konsep Keluarga Malaysia bagi mencapai satu kesepakatan demi kebaikan negara.

Ujarnya, pertemuan itu juga merupakan susulan pertemuan pertama yang telah diadakan antara syarikat Winepak (M) Sdn. Bhd. bersama MyIPO pada 25 Oktober lalu.

Tambahnya, kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap isu jenama Timah pada sebuah produk arak keluaran tempatan yang dibincangkan di media elektronik dan sosial sejak ia dilancarkan pada awal Oktober lalu.

Isu arak ‘Timah’ mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) selepas penampilan imej lelaki berkopiah dengan janggut panjang, seolah-olah memaparkan individu berimej agama yang boleh mencetuskan kemarahan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagi masyarakat Melayu, ‘Timah’ adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati oleh umat Islam sama ada Sunni atau Syiah.

Justeru katanya, menjenamakan arak dengan ‘Timah’ dianggap oleh umat Islam sebagai satu penghinaan yang tidak seharusnya berlaku. – Bernama