Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Audit: Terdapat kelemahan kutipan sewa pejabat konsesi lebuh raya -

Audit: Terdapat kelemahan kutipan sewa pejabat konsesi lebuh raya

KELEMAHAN dalam kutipan sewa pejabat pentadbiran syarikat konsesi lebuh raya di Semenanjung Malaysia menyebabkan berlaku kerugian hasil kepada kerajaan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020.

Berdasarkan laporan itu yang dikeluarkan pada Rabu, kerugian tersebut merangkumi kutipan sewa pejabat pentadbiran bagi tujuh syarikat konsesi berjumlah RM2.57 juta yang tidak diakaunkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Semakan audit juga mendapati sewa pejabat pentadbiran sebanyak RM2.77 juta juga tidak dikutip bagi tempoh antara tujuh hingga 17 tahun bagi lapan lebuh raya. 

“Selain itu, sewa tapak komersial yang dikutip oleh lapan syarikat konsesi bagi lapan lebuh raya daripada pihak ketiga berjumlah RM32.09 juta untuk tempoh dua tahun sejak 2019, adalah tidak mematuhi perjanjian konsesi kerana kadar sewa tapak komersial belum ditentukan oleh kerajaan. 

“Perkara ini berlaku disebabkan perjanjian pajakan masih belum ditandatangani antara Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dengan syarikat konsesi,” menurut laporan pengauditan berkaitan penyata kewangan kerajaan Persekutuan serta pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan itu.

Justeru, bagi memastikan tindakan pematuhan kepada peraturan dan penguatkuasaan klausa perjanjian, pihak audit mengesyorkan Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu memastikan syarikat konsesi menyelesaikan urusan perjanjian pajakan dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) agar kutipan sewa pejabat pentadbiran syarikat konsesi serta tapak komersial dapat diakaunkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

“Selain itu, kadar sewa tapak komersial harus ditetapkan agar kutipan yang telah dibuat oleh syarikat konsesi dapat diakaunkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dengan sewajarnya,” menurut laporan tersebut. – Bernama