Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kesatuan Afrika gantung keahlian Sudan -

Kesatuan Afrika gantung keahlian Sudan

KESATUAN Afrika pada Rabu bertindak menggantung keahlian Sudan dan melarang negara ini menyertai semua aktiviti kesatuan.

Keputusan itu akan berkuat kuasa sehingga kerajaan peralihan Sudan dikembalikan semula.

Kerajaan peralihan itu dibentuk lebih dua tahun lepas susulan penyingkiran bekas Presiden Omar al-Bashir, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Majlis Politik, Keamanan dan Keselamatan Afrika (PAPS) menggesa pengembalian semula kerajaan peralihan yang menggabungan pegawai awam dan tentera.

Sambil menyambut baik pembebasan Perdana Menteri Abdalla Hamdok, PAPS menyeru sayap tentera yang diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan supaya membebaskan anggota Kabinet yang ditahan dan pegawai awam lain. 

Pada Isnin, tentera Sudan mengumumkan darurat, membubarkan majlis kedaulatan dan kerajaan peralihan, beberapa jam selepas menahan Hamdok dan beberapa menteri.

Rentetan daripada pengambilalihan tentera itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai negara telah menggesa kerajaan peralihan dikembalikan sementara pilihan raya umum diadakan. 

Selepas rampasan kuasa tentera yang gagal bulan lepas, ketegangan meletus antara tentera dan pentadbiran awam di Sudan.
Sebelum tentera mengambil alih, Sudan ditadbir oleh majlis berdaulat yang menggabungkan pihak  tentera dan awam, sementara pilihan raya yang dijadualkan pada 2023 diadakan. – Bernama