Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Penilaian awal dapati tapak cadangan pelupusan kekal rendah risiko banjir -

Penilaian awal dapati tapak cadangan pelupusan kekal rendah risiko banjir

PENILAIAN awal tapak cadangan baharu bagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn. Bhd. di sekitar kawasan Perindustrian Gebeng, Pahang mendapati ia diklasifikasikan berisiko rendah dilanda banjir.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, laporan penilaian kesan radiologi (RIA) telah diterima September lepas dan dilaksanakan ekoran kebimbangan berkenaan risiko banjir di sekitar kawasan tersebut.

“PDF telah dikenal pasti di kawasan Perindustrian Gebeng dan kini sedang dalam proses penilaian sebelum diberikan kelulusan pembinaan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Tack (PH-Bentong) yang ingin tahu sekiranya Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) masih berpegang dengan pendirian sisa radioaktif terkumpul di kilang Lynas perlu dipindah segera kerana kawasan tersebut terdedah kepada banjir besar.

Dr. Adham berkata, ketika ini kerajaan berpendirian pemindahan sisa radioaktif yang terkumpul boleh disegerakan dengan syarat mempercepatkan pembinaan PDF.

Bagaimanapun katanya sebelum kelulusan pembinaan PDF diberikan, AELB mensyaratkan supaya dua aspek penilaian utama dipatuhi, iaitu RIA dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). – Bernama