Tolak vaksin? Dadah? Tiada kompromi untuk mereka- Jaja Ishak

Tiada kompromi! Itu penegasan yang dibuat oleh penerbit Jaja Ishak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelakon atau kru yang belum divaksin mahupun terlibat dengan dadah.

Tegasnya, perkara tersebut bukanlah satu hal yang boleh dipandang enteng memandangkan keselamatan dan soal kesihatan semua yang terlibat menjadi keutamaan mana-mana produksi sekali pun.

“Memang kami sangat teliti apabila berurusan dengan semua pihak. Sebelum masuk sahaja ke set kita akan memastikan semua kru dan menunjukkan bukti vaksinasi kerana ini syarat utama.

“Kita tak mahu apa-apa yang buruk berlaku di kemudian hari. Saya hara semua faham dan mengerti dengan keadaan yang kita hadapi hari ini. Kita perlu hidup dengan norma baharu, kena ingat yang itu,” kata pemilik produksi Jaja Ishak Channel Sdn Bhd.

Terdahulu beberapa insiden panas melibatkan orang industri memuncak apabila ada sebilangan kecil pelakon dan kru yang enggan di vaksin. Ada juga pelakon dan kru ditangkap terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan membuatkan industri panas seketika.

Untuk terlibat dengan kerja-kerja penggambaran, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (Finas) telah meletakkan syarat untuk semua mengambil suntikan vaksin terlebih dahulu sebelum memulakan pekerjaan.

“Dalam produksi saya sendiri ada kru dan pelakon yang menyatakan tidak mahu mengambil vaksin. Saya menghormati kehendak mereka tetapi dalam masa yang sama tetap menggugurkan mereka.

“Kita hormat kehendak mereka dan mereka juga perlu hormat keputusan kita,” katanya yang kini sedang sibuk membikin drama Saat Ku Takluk Cinta ini yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Mengenai kontroversi artis yang terlibat dengan dadah pula, Jaja berharap mana-mana artis atau kru yang terlibat meninggalkan tabiat tersebut untuk kehidupan yang baik.

Tambahnya, produksi miliknya masih belum berhadapan dengan isu tersebut dan berharap tidak berhadapan dengan pelakon yang bermasalah pada masa hadapan.

“Saya memang risau jika ada kru atau pelakon bermasalah. Sebagai langkah awal, mungkin kita akan membuat saringan awal untuk mengelak perkara yang buruk berlaku,” katanya lagi.