Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Hukuman penjara kesalahan penyeludupan migran dicadang dinaikkan -

Hukuman penjara kesalahan penyeludupan migran dicadang dinaikkan

HUKUMAN bagi kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat dicadang dinaikkan daripada penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, kepada pemenjaraan seumur hidup dan boleh juga dihukum sebat.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 yang dibentang bagi bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan pegawai awam yang menyeludup migran ketika melaksanakan kewajipan awamnya tergolong dalam kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat.

Pindaan itu juga meliputi hukuman penjara bagi kesalahan penyeludupan migran dinaikkan daripada tidak melebihi 15 tahun kepada maksimum 20 tahun.

Selain itu, pindaan juga melibatkan hukuman penjara berhubung kesalahan pemerdagangan orang dalam transit yang dinaikkan daripada tempoh maksimum tujuh tahun kepada tidak melebihi 15 tahun.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).

Ismail berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada sidang Parlimen ini.

— BERNAMA