Perlekeh Islam, Nikita Mirzani kembali panas

DIKATAKAN menghina agama Islam apabila memperlekehkan niat solat, nama Nikita Mirzani kembali panas sejak beberapa hari yang lalu. Dia yang dikecam hebat oleh sebahagian besar peminat turut menarik perhatian ulama dari negara seberang.

Semuanya bermula apabila video dia membaca niat solat Maghrib sambil ketawa ketika sedang live di Instagram miliknya dan potongan sebahagian daripadanya tular di TikTok sehingga mendapat kecaman ramai.

“Bergurau apa lagi memainkan sebahagian dari rukun Islam maka boleh dikategorikan kafir atau keluar Islam,” kata Ustaz Das Latif mengulas mengenai apa yang terjadi.

Tambahnya, semua ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan selebriti berkenaan merupakan orang yang dikenali dan sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada umum.

“Saya yakin Nikita melakukan hal ini kerana populariti dan punya kreativiti positif yang akhirnya menjadi negatif,” tambahnya lagi.

Menjawab isu yang membelenggu dirinya, Nikita menegaskan yang dia tidak pernah melakukan hal tersebut dan menganggap apa yang berlaku dilakukan oleh orang yang membenci dirinya yang sanggup memotong video tersebut untuk disebarkan.

“Saya tidak pernah melakukan hal tersebut. Kenapa tidak melihatkan video versi penuh sahaja? Saya hanya membaca niat solat terus dikatakan menghina agama padahal mereka yang melakukannya.

“Waktu terjadinya perkara ini kerana saya serang berseteru dengan salah seorang selebriti, masa itu juga video tersebut disebarkan. Saya rasa ini adalah komplot dan akhirnya membuatkan seperti saya memperlecehkan Islam,” tegas Nikita.

Menafikan sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan, Nikita tetap menuduh seterunya melakukan hal tersebut kerana tidak mahu melihatnya hidup tenang.

Ibu kepada tiga anak ini juga tidak takut sekiranya ada pihak melaporkan kontroversi tersebut kepada polis. Dia bertegas akan melaporkan kembali dan mengheret mereka ke pengadilan untuk membersihkan namanya.

Awal bulan ini, Nikita ‘berperang’ bersama bekas suaminya Dipo Latief dan mahu memenjarakan bapa kepada anak ketiganya itu berkaitan soal nafkah. Dia menuntut duit nafkah anaknya itu sebanyak RM3,000 sebulan sehingga anak mereka berusia 21 tahun. – SB