SERAMAI 176 orang mangsa banjir di Melaka, Selangor dan Kedah masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 9 pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Melaka, Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, empat orang daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.
Menurut beliau, penduduk yang terlibat masih berada di PPS berkenaan ekoran bekalan elektrik ke rumah mereka masih belum disambung.
Bagaimanapun katanya, kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik di rumah-rumah mangsa yang terjejas itu dijangkakan selesai hari ini.
Manakala di Selangor, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan terdapat 32 orang daripada sembilan keluarga berada di dua PPS di Sepang iaitu Sekolah Rendah Agama Kampung Giching (31 orang) serta seorang mangsa masih berlindung di Balai MPKK Kampung Giching.
Sementara itu di Kedah, seramai 140 orang daripada 36 keluarga masih berada di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dekat Pendang yang dibuka sejak ahad.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.