PERMOHONAN Datuk Seri Najib Razak meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya untuk ke Singapura mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi hari ini.
Tiga hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib meminda tarikh itu kepada 25 Oktober lalu sehingga 6 Disember ini.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan Najib mendapatkan pasportnya daripada 20 Oktober lalu dan dipulangkan semula pada 22 November ini.
Bagaimanapun, menerusi notis usul yang dipinda di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib memohon tempoh pelepasan pasportnya dipinda.
Ahli Parlimen Pekan itu merancang ke Singapura untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang kini di negara itu dan bakal melahirkan anak kedua bulan hadapan.
Tarikh baru untuk ke Singapura dipohon kerana Najib perlu membantu jentera parti UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November depan.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ketika PRN Melaka diadakan akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi sakit belakangnya.
Justeru Najib berkata, beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajarnya ketika ketiadaan Ahmad Zahid.
Dalam afidavit sokongan itu Najib berkata pada 18 Oktober lalu, beliau mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk pelepasan sementara pasport antarabangsanya bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.
Bagaimanapun, Najib berkata, selepas mendapat perintah daripada Mahkamah Rayuan itu, beliau dimaklumkan berkenaan perkembangan PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 November dan penamaan calon pada 8 November ini.
Sehubungan itu, katanya perancangan untuk bertolak ke Singapura telah berubah kepada 21 November dan pulang ke Malaysia pada 5 Disember (atau lebih awal dari tarikh tersebut) serta akan memulangkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 6 Disember ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.