Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau, memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) susulan tinjauan dan pemantauan banjir di Taman Sri Muda, di sini, baru-baru ini.
Ganabatirau mengakui kesilapan itu dilakukannya selepas video beliau tular di laman sosial hingga mengundang kemarahan pelbagai pihak.
“Saya sedar bertindak kasar dan memohon maaf dengan sepenuh hati kepada pihak yang terbabit.
“Saya suarakan perkara ini bukan untuk menjadi hero, tetapi disebabkan berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) sebelum ini mendesak Ganabatirau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam, terutama kakitangan JPS.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat dilaporkan berkata, pihaknya terkilan dengan tindakan ADUN Kota Kemuning itu yang disifatkan sebagai tidak profesional dalam tugas, apatah lagi video tular berkenaan dikatakan dimuat naik sendiri oleh beliau tanpa diketahui niat atau tujuan.
Katanya, Ganabatirau sewajarnya menggunakan saluran betul dalam menyuarakan pandangan ataupun masalah, dan bukan membuat serangan terbuka di lapangan serta media sosial.
Mengulas lanjut, Ganabatirau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, berkata beliau hanya menjalankan tugas selepas menerima aduan penduduk berhubung masalah banjir di beberapa lokasi di kawasan itu.
“Saya dapati kawasan perumahan dinaiki air hingga ke paras pinggang minggu lalu ekoran masalah perparitan.
“Apa yang menimbulkan kerisauan ialah hujan lebat diramal berlaku di negeri ini selama tiga hari bermula Khamis ini,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.