Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEBUAH kapal kargo pukal yang berdaftar di Kepulauan Marshall ditahan selepas disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, pagi semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo itu ditahan pada pukul 11.03 pagi di kedudukan 10 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi.
Katanya kapal yang ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram itu dikendalikan seramai 22 orang krew.
“Kesemua krew terdiri daripada warga Ukraine, Russia, Filipina dan Sri Lanka yang berumur antara 20 hingga 61 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Ekoran itu kapal serta semua krew ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Jelasnya, Maritim Malaysia menerusi Operasi Jangkar Haram akan terus memastikan perairan negeri Johor sentiasa terpelihara daripada sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran terutama di perairan Johor timur. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.