KURANG dua bulan dilancarkan tetapi sudah menjadi juara carta RIM (Carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia) selama enam minggu berturut-turut merupakan pencapaian manis bagi lagu Tak Sangka.
Lagu yang menggabungkan Yonnyboii, Zynakal dan Ashraf Nasir yang bernaung di bawah label Def Jam Recording Malaysia itu senang menangkap di telinga sesiapa sahaja selain mendapat sambutan baik daripada stesen radio tempatan.
Selaku Pengarah Urusan Deff Jam, Joe Flizzow menyifatkan kejayaan lagu tersebut menjadi bukti yang genre hip hop di Malaysia masih bernilai tinggi dan senang diterima ramai sekiranya produk berkenaan mempunyai nilai estetika berkualiti.
“Saya melihat kejayaan lagu ini membuktikan yang generasi baharu hip hop di Malaysia mempunyai kematangan dan keberanian dalam menghasilkan karya mereka.
“Kejayaan menjadi juara Carta RIM selama enam minggu berturut-turut menjadi petanda peminat dan pendengar menghargai karya mereka. Syabas kepada ketiga-tiga mereka,” kata Joe ringkas.

Tak Sangka merupakan lagu hasil ciptaan ketiga-tiga anak muda ini. Jika Yonnyboii dan Zynakal sudah berpengalaman luas, Ashraf pula masih baharu tetapi mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh sekiranya diberikan peluang.
Bagi Yonnyboii pula, dia menganggap dugaan yang dilalui sebelum ini memberikan pencapaian manis apabila kerja keras mereka untuk merealisasikan
lagu itu sebelum ini berbaloi.
Mana tidak, mereka sendiri berdepan pelbagai dugaan demi memastikan
Tak Sangka dapat dilancarkan selain bersyukur gabungan mereka bertiga adalah satu keputusan yang tepat.
“Sejujurnya kami bertiga memang tak sangka tapi pada masa sama memiliki keyakinan yang cukup tinggi terhadap lagu
Tak Sangka selama ini. Walaupun banyak perancangan kena tunda disebabkan Covid-19 namun dapat lancarkannya pada masa yang tepat.
“Lagu ini cukup istimewa untuk saya dan pasukan sendiri disebabkan ia kolaborasi pertama kami bertiga. Apabila dapat bekerjasama dengan rakan baik dan adik-beradik satu label rakaman, keterujaan itu lebih luar biasa.
“Dengan kekuatan masing-masing menjadikan lagu itu jadi lebih
gah dari segi bunyi dan susunannya,” kata Yonnyboii mewakili rakan-rakan yang lain.
Sebagai info, RIM merupakan pertubuhan muzik bukan keuntungan dan bertanggungjawab mengira hasil jualan ramakan muzik di Malaysia. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.