
SETIAP kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi ditanggung rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap ia turut disokong oleh kerajaan negeri.
Katanya, ketika ini pelbagai program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia.
“Ini termasuklah Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan COVID-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Kuching malam ini.
Yang hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan hari ini yang bekerja dalam semangat sebuah keluarga, akan terus konsisten memberi tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.
“Bagi memantau pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia, Keberhasilan Kebahagiaan atau Key Happiness Outcome (KHO) telah diperkenalkan bagi melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (atau KPI).
“KHO dan KPI ini menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik.
“Bahkan, ia akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report di mana kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021,” katanya.
Dalam pada itu, kata Perdana Menteri, Keluarga Malaysia bukanlah retorik atau slogan semata-mata tetapi idea itu merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara, dengan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.
Mengambil contoh sebuah keluarga, Ismail Sabri berkata sekiranya terdapat anak yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu mereka akan diberi lebih tumpuan.
“Apatah lagi jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti kita akan menghulurkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka bersendirian.
“Begitu juga dalam pentabiran kerajaan pada hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik akan terus diberikan fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan,” kata beliau. – SB