Pandelela kongsi pengalaman hitam, jenaka rogol tidak kelakar

BERANG melihat isu rogol dan gangguan seksual dijadikan jenaka oleh beberapa selebriti tanah air, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong tampil luahkan kekecewaannya.

Sekian lama dipendam kerana takut, Pandelela akhirnya berkongsi pengalaman hitamnya yang lalu berkenaan kisah rogol di perkampungan sukan, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Bukit Jalil, pada 2017.

“Dulu saya ada seorang coach (jurulatih) ni suka buat lawak lucah, saya buat diam je tak pun pura-pura ketawa. 

Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik. 7 tahun kemudian dia buat kes rogol,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter.

Beliau juga meluahkan perasaan sedih kerana menurutnya, sepanjang tujuh tahun itu mereka yang merupakan atlet negara tidak boleh membuat sebarang tindakan.

“Tapi paling sedih dalam tujuh tahun tu dia buat hal setiap tahun, tapi kami atlet tidak boleh buat apa, sebab backup besar dia adalah head coach (ketua jurulatih) kami sendiri,” ujar Pandelela.

Pada 2017, Huang Qiang yang merupakan jurulatih pasukan terjun kebangsaan ketika itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan merogol seorang atlet terjun kebangsaan wanita.

Pandelela meluahkan kekecewaanya demikian merujuk kontroversi membabitkan video daripada sebuah program televisyen yang tular dalam Twitter sejak semalam.

Dalam paparan tersebut, pelakon, Fauzi Nawawi galak bercerita secara terperinci pengalamannya pada tahun 2007 ketika menjayakan babak rogol bersama pelakon wanita, Raja Farah, menerusi filem Anak Halal.

Fauzi bagaimanapun sudah meminta maaf kepada aktres tersebut dan suaminya di atas ketelanjuran dilakukan selain memaklumkan tidak sedar video daripada program yang sudah beberapa kali disiarkan itu tular. – SB