Kerjasama PN, MN boleh dicapai di Melaka – Pas

NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar optimis kerjasama Perikatan Nasional (PN) – Muafakat Nasional (MN) boleh dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Beliau berkata, Pas akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan memperkasa kerjasama antara dua gabungan itu.

Menurut beliau, setiap parti komponen di dalam PN dan MN mempunyai peranan masing-masing dalam menentukan hala tuju perjalanan politik negara.

“Pas optimis kerjasama antara PN dan MN dapat dicapai… sebab itu tidak timbul isu Pas meminggirkan mana-mana parti dari PN atau MN,” katanya.

Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Gempur Perikatan Nasional Melaka hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan pemimpin tertinggi PN.

Menurut Ahmad Samsuri, Pas di pelbagai peringkat sudah mengadakan beberapa siri pertemuan secara rasmi dan tidak rasmi bagi meneroka jalan ke arah kesefahaman yang lebih baik bersama kepimpinan Bersatu dan UMNO termasuk dari segi pembahagian kerusi.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah kerusi yang disasarkan Pas tidak dapat didedahkan kerana ia sebahagian daripada strategi parti itu bagi menghadapi PRN Melaka. – SB