KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan untuk membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu di platform media sosial.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya, hari ini.
“Kami berharap tindakan susulan seperti siasatan, pendakwaan dan lain-lain dapat disegerakan.
“Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” katanya menerusi ciapan berkenaan.

Khairy memaklumkan perkara itu bagi menjawab ciapan salah seorang pengguna Twitter, @DrSakinah3 yang mempersoalkan ‘kekebalan’ kumpulan anti-vaksin di negara ini yang tidak diambil tindakan.
“Mantan PM, Presiden UMNO pun turun naik mahkamah, tapi anti-vaksin lebih hebat lagi. Petik nama menteri sesuka hati. Tabur fitnah sana sini, tiada tindakan. Sampai bila?” luahnya sambil memetik nama Khairy di dalam ciapannya.

Pengguna berkenaan turut melampirkan tangkap layar satu kumpulan anti-vaksin dari aplikasi Telegram yang memaparkan mesej yang mendesak pihak berkenaan untuk menguruskan pampasan kepada mereka yang dipercayai meninggal dunia setelah disuntik vaksin.

Sebelum ini, Khairy pada Sabtu memaklumkan telah mengarahkan KKM untuk membuat laporan kepada pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran berita palsu berkenaan COVID-19 dan vaksinasi menerusi laman Twitter Spaces, baru-baru ini.
Perkara itu adalah susulan daripada penularan video berdurasi 31 saat yang memaparkan hantaran yang dilakukan oleh seorang pengguna Twitter berkaitan senarai kematian guru sekolah akibat vaksinasi.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.