PENGUMUMAN kerajaan yang membenarkan individu lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok adalah satu penghargaan kepada petugas barisan hadapan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tanggungjawab kini terletak kepada rakyat Malaysia kerana walaupun rentas negeri dibenarkan, mereka perlu sentiasa mematuhi semua tindakan kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang masih berkuat kuasa.
“Jika anda benar-benar menghargai apa yang telah dilakukan oleh petugas barisan hadapan sejak setahun setengah yang lepas, anda akan menjadi lebih bertanggungjawab, sedar kendiri, (dan) anda akan memastikan bahawa anda akan menjaga kesihatan diri sendiri.
“Alhamdulillah, hari ini telah mencapai nilai ambang yang telah kita janji dan kita umumkan, dan saya rasa ini adalah pengumuman yang sangat tepat dengan tarikh hari ini iaitu 10 hari bulan 10 (10 Okt) yang mana sama dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Doktor Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis ‘Free Medical Camp’ anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sempena Hari Doktor Malaysia 2021 secara maya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan kebenaran merentas negeri berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.
Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang mewujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional Kesihatan Mental bagi mendidik dan membantu rakyat yang terkesan akibat kesihatan mental.
Beliau berkata, pusat berkenaan bukan hanya berfungsi sebagai pusat penyelidikan tetapi juga sebagai satu tempat kebolehcapaian yang mudah bagi perkara berkaitan kesihatan mental.
“Komitmen KKM turut tertumpu pada kesihatan mental rakyat dan bukan pada kesihatan fizikal semata-mata. Pandemik COVID-19 mengakibatkan pelbagai kesan seperti kehilangan orang tersayang dan juga dari segi masalah ekonomi,” katanya.
Khairy berkata demikian pada majlis pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025 dan Kempen Media ‘Let’s TALK Minda Sihat’ secara maya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.
Menurut Khairy, aplikasi MySejahtera akan ditambah baik bagi membolehkan mereka menghadapi masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan melalui aplikasi tersebut, selain Agenda Nasional Malaysia Sihat akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi membantu rakyat sihat dari segi fizikal dan mental.
Mengenai Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025, Khairy berkata ia adalah polisi jangka panjang KKM bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental negara dan polisi berkenaan disediakan pakar bidang kesihatan mental dengan mengambil kira input daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Lapan skop utama digariskan dalam pelan itu antaranya meningkatkan tadbir urus dan kerangka peraturan, mengukuhkan sistem kawalan kesihatan mental, memastikan ketersediaan dan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental komprehensif, dan memperkukuhkan sumber kesihatan mental.
Ia turut meliputi skop meningkatkan kerjasama rentas sektor, mempromosikan kesejahteraan dan kesihatan mental, memperkukuhkan kesiapsiagaan semasa kecemasan, krisis dan bencana serta menangani isu bunuh diri.
Mengenai kempen media ‘Let’s TALK Minda Sihat’, Khairy berkata KKM menganggarkan kempen bagi meningkatkan kesedaran kesihatan mental itu menarik 22 juta capaian oleh rakyat Malaysia melalui pelbagai platform media termasuk media elektronik dan digital.
Tema tahun ini “Menuju Kesaksamaan Kesihatan Mental” sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut setiap 10 Okt selari dengan tema sambutan di peringkat global ‘Mental Health Care for All: Let’s Make It a Reality’ yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.