PM turut bersukan sempena HSN 2021

0
219
ISMAIL Sabri Yaakob ketika majlis pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2021, di Putrajaya, hari ini. - FOTO FACEBOOK ISMAIL SABRI

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut bersukan sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2021 dengan menyertai beberapa acara yang diadakan di perkarangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya pada Sabtu.

Antara aktiviti sukan yang disertai Perdana Menteri ialah senamrobik, bola jaring, bola keranjang selain meninjau aktiviti sukan permotoran.

Ismail Sabri turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton apabila berjaya menyempurnakan jaringan ketika mencuba aktiviti sukan bola jaring.

Terdahulu ketika berucap melancarkan HSN 2021 itu, Ismail Sabri mengajak seluruh rakyat untuk menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

“Sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia. Selamat bersukan dan selamat beriadah,” katanya seperti dilapor Bernama.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada atlet-atlet yang telah mengharumkan nama negara dalam temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu.

Kata beliau, pencapaian itu adalah hasil prinsip kebersamaan semua pihak khususnya atlet dan jurulatih masing-masing.

“Ketika seluruh dunia berperang melawan pandemik COVID-19, mereka berlatih dalam keadaan serba getir, demi mengangkat nama negara.

“Kita perlu melihat kesungguhan ini pada diri setiap atlet termasuk mereka yang pulang tanpa membawa sebarang pingat,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut menggariskan landasan untuk pembangunan sukan negara dengan mengerakkan rencana ke arah memperkasakan penglibatan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

Beliau melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan; Program Talent Identification and Development (MyTID) dan usaha penggubalan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara. – SB