MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menetapkan pendengaran bagi permohonan kerajaan melucut hak hampir RM16 juta daripada keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada 3 Januari tahun hadapan.
Tarikh itu ditetapkan sewaktu pengurusan kes oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini, yang turut dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya Dona Liyanna Sabariah Azmi dan peguam S.K. Shaarvin Raaj bertindak bagi pihak keluarga Abdul Azeez.
Saman yang difailkan pada September 2019 itu mengandungi tuntutan kerajaan untuk melucut hak hampir 16 juta daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway kepunyaan syarikat mereka.
Menurut klausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding bagi melucutkan hak wang tersebut daripada akaun peribadi TH milik Khadijah, dan empat empat anak mereka berserta satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.
Pada 18 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan keluarga tersebut untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan itu sementara perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di ibu negara selesai.
Abdul Azeez, 54, kini berdepan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima dairpada syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd.
Bagaimanapun, perbicaraan itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.