NAMPAKNYA episod serangan seksual disyaki membabitkan anggota tentera belum berakhir, apabila mangsa mendakwa dirinya menjadi bahan kecaman netizen yang mengatakan dirinya ‘melayan’ dan tidak menghalang ketika suspek melakukan perkara jijik itu kepadanya.
Susulan itu, menerusi hantaran di Instagram Story akaun milik mangsa pada Khamis, gadis malang ini tampil menjelaskan situasi sebenar bagi menghentikan kecaman yang menyalahkan dirinya ketika kejadian itu berlaku.
“Tak mampu nak puaskan hati netizen, Tuhan tahu siapa benar siapa salah. Yang mana menyalahkan aku, sampai mati aku tak maafkan.
“Kebanyakkannya perempuan yang banyak ‘judge’, aku doa supaya hampa sendiri merasa. Jangan setakat cakap “kalau aku” je. Nak sangat rasa kan, aku doa hampa (kalian) merasalah nanti. Cari aku kat sana,” luahnya menerusi hantaran tersebut.

Bagi mengukuhkan kenyataannya, mangsa turut berkongsi lebihan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tiada di dalam rakaman kejadian yang tular, di mana terpapar dirinya menangis kerana ketakutan setelah suspek keluar dari kedainya.
“Kalau waktu tu telefon connect dengan CCTV mesti hampa boleh dengar suara aku teriak (menangis) tersedu-sedu,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa turut menjelaskan situasi sebenar di Instagram Story milikya tiga hari lalu dengan mendakwa suspek pada awalnya hanya memegang tangannya dan mangsa mengingatkan suspek bahawa CCTV sedang merakam.
“Tetapi, apabila dia buat lebih daripada pegang tangan, saya mula menggeletar dan cuba untuk membuat panggilan kepada abang saya dan melakukan isyarat bahawa saya dalam bahaya tetapi abang lambat perasan.
“Saya mesej seorang lagi abang, syukur abang balas cepat dan terus datang, tetapi pelanggan (suspek) itu dah gerak balik,” katanya.
Tambahnya, suspek turut mengajaknya ke tandas beberapa kali dan terus keluar daripada premis berkenaan setelah pelawaan miang itu ditolak oleh mangsa.
Terdahulu, anggota tentera yang disyaki mencabul seorang wanita dengan menjilat tangan mangsa di sebuah kedai vape di Taman Keramat, Kuala Lumpur, kelmarin, ditahan polis pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di sebuah rumah di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, jam 12.30 tengah malam semalam.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.