KEMENTERIAN Kesihatan sudah pun menyatakan pendirian mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam, dan syor sama akan dibentangkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik berhubung (PRN) dalam Mesyuarat Kabinet, esok.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memaklumkan pendirian mengenai PRN itu dalam jawatankuasa berkenaan semalam.
Jika mesyuarat jemaah menteri memutuskan untuk PRN Melaka dilaksanakan, beliau memberi jaminan KKM sedia untuk melaksanakan apa jua prosedur operasi standard (SOP) bagi meminimakan risiko jangkitan COVID-19 sepanjang PRN berlangsung.
“KKM sudah membentangkan pendirian dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 semalam. Kita akan bincang sekali lagi dalam mesyuarat jemaah menteri esok.
“Ini kerana hal ini bukan saja membabitkan faktor kesihatan, tapi juga soal perundangan dan Perlembagaan.
“Kita akn ambil maklum apa saja keputusan jemaah menteri dan KKM akan sediakan apa saja SOP yang diperlukan jika ia (PRN Melaka) diteruskan.
“Kalau ia tidak diteruskan, kita ada masa lagi (untuk persiapan pilihan raya),” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.