APA yang berlaku rentetan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun lepas akan dijadikan iktibar untuk dipelajari dalam membuat keputusan mengenai PRN Melaka.
Justeru, keputusan untuk mengadakan PRN Melaka hanay akan diputuskan selepas meneliti kesemua aspek keselamatan dan risiko yang ada.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, kerajaan perlu melihat dari pandangan segala kepakaran yang akan membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kita belajar daripada apa yang berlaku dalam PRN Sabah dan kita tengok kesannya. Agenda kita adalah untuk selamatkan rakyat.
“SPR akan tentukan selepas kita bawa kepada pimpinan tertinggi. Saya dah arah MKN untuk dekati pihak berkenaan termasuk KKM,” katanya kepada media selepas hadir pada Program Bakul MINDEF Prihatin bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee di ibu negara pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai perkembangan Dewan Undangan Negeri Melaka selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai semalam, dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.
Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya pada Isnin.
“Saya nak tahu daripada pakar-pakar apa kesanya kalau sekiranya kita adakan PRN di Melaka. Jadi itu pertimbangan yang perlu kita fikirkan dalam memutuskan apa yang patut kita meniti perkembangan di negeri Melaka,” jelasnya.
Empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.