Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kes ahli perniagaan maut jatuh kondo diklasifikasi sebagai mati mengejut -
Bayi rentung

Kes ahli perniagaan maut jatuh kondo diklasifikasi sebagai mati mengejut

POLIS mengklasifikasikan kes seorang ahli perniagaan yang ditemukan mati dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawai di sini, awal pagi tadi sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, setakat ini siasatan lanjut masih  dijalankan dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian mangsa.

“Setakat ini, polis menjalankan siasatan kes itu sebagai SDR dan siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah namun kami menunggu laporan bedah siasat sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, mayat mangsa yang berusia 53 tahun dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) dan proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperoleh.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi tadi, mayat mangsa ditemukan oleh pengawal keselamatan di dalam kolam renang di kondominium mewah tersebut dengan kesan kecederaan parah pada keseluruhan badan dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 16, unit kondominiumnya.

Soffian berkata, pengawal keselamatan itu memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa kepada ahli keluarganya sebelum menghubungi polis.

Menurut Soffian mangsa tinggal bersama isteri dan dua anaknya iaitu seorang lelaki dan seorang perempuannya di unit kondominium itu.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai identiti mangsa yang dikatakan antara saksi utama kes pendakwaan projek pembinaan terowong dasar laut turut memaklumkan bahawa identiti lelaki itu akan didedahkan selepas bedah siasat selesai dijalankan.

“Ketika polis sampai ke lokasi kejadian, lelaki itu telah pun meninggal dunia dan ketika ini kami masih menjalankan siasatan mengenai identiti mangsa serta  punca kejadian tersebut.

“Isteri mangsa masih berada dalam keadaan trauma, setakat ini polis belum dapat menyoal siasat isteri dan ahli keluarga mangsa dengan lanjut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Jabatan Forensik HPP mendapati terdapat beberapa individu dipercayai ahli keluarga dan kenalan mangsa namun, enggan mengulas lanjut ketika ditemui media.

Tinjauan di kawasan kondominium mangsa juga mendapati pasukan forensik pasukan polis berada di lokasi kejadian dan menjalankan pemeriksaan di situ.

Terdahulu tular di media sosial yang mendakwa seorang lelaki bergelar Datuk dan saksi kes rasuah berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, ditemukan mati dipercayai akibat terjatuh dari kondominiumnya. – Bernama