MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin hari ini merasmikan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Sektor Pendidikan 2021 secara atas talian di EduwebTV.
Menurut Radzi, DBK merupakan satu wadah untuk membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada generasi pewaris negara bagi menzahirkan rasa kecintaan mereka terhadap bahasa kebangsaan.
“Pendekatan aktiviti dalam DBK ini perlu bersesuaian untuk memastikan golongan muda atau anak-anak ini terus mencintai Bahasa Melayu dan sentiasa mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian,” katanya.
Seterusnya Radzi berkata, pemilihan tema ‘Bahasa Wadah Penyatuan Bangsa’ untuk sambutan DBK 2021 adalah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui pelestarian bahasa kebangsaan dan Keluarga Malaysia.
“Dalam konteks Keluarga Malaysia, yang terdiri daripada masyarakat majmuk, bahasa merupakan wadah utama yang dapat merapat dan mengerat perpaduan masyarakat.
“Persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat dapat dibentuk apabila kita berkomunikasi menggunakan bahasa yang sama,” ujar Radzi.

Tambah Radzi, menyatupadukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan bahasa ibundanya yang tersendiri bukanlah sesuatu yang mudah, oleh itu Bahasa Melayu haruslah dipelajari atas dasar cinta dan semangat patriotik sebagai warga bumi bertuah Malaysia.
“Saya yakin, inisiatif yang dilaksanakan dalam DBK ini akan dapat menyemarakkan lagi rasa cinta dan bangga akan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, seterusnya dapat mengukuhkan perpaduan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.
DBK merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan yang telah diperkenalkan pada tahun 1999. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.