SEBANYAK 90 peratus pelajar 17 tahun di sekolah milik Kementerian Pendidikan telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitternya, hari ini.
Menurut Khairy, pelajar berusia 16 tahun yang menerima sekurang-kurangnya satu dos pula telah mencecah 88 peratus sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) berlangsung.
“Dengan pembukaan sekolah hari ini, 90 peratus pelajar berusia 17 tahun dan 88 peratus berumur 16 tahun telah pun memperoleh sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
“Marilah kita bawa anak-anak kita ke sekolah dengan selamat. #LindungDiriLindungSemua,” katanya dalam ciapan tersebut.
Sesi persekolahan secara bersemuka dan berperingkat bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah sejak semalam dan negeri-negeri lain hari ini.
Ia selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan COVID-19.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan secara keseluruhannya pihak sekolah berjaya mematuhi tatacara dan garis panduan yang ditetapkan bagi menghindari penularan pandemik COVID-19 dengan baik termasuk aspek pengudaraan bilik darjah yang telah ditekankan kementerian sebelum ini.
“Hampir semua kelas pengudaraannya berada pada tahap optimum dan murid-murid serta guru memakai pelitup muka di dalam kelas.
“Semua berjalan baik termasuklah penggiliran murid di dalam kelas seperti yang kita umumkan sebelum ini bahawa setiap kelas hanya separuh murid bersemuka dan separuh lagi belajar di rumah.
“Ini membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan dengan baik dan kesesakan sewaktu kemasukan dalam sekolah dan penyuraian sekolah juga diharapkan dapat dilakukan dengan baik,” katanya semalam.
– Ikuti akaun media sosial SatuBerita di Facebook, YouTube, Twitter & Instagram
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.