Pusat Warga Emas disemua kawasan Parlimen

SELARAS dengan konsep Keluarga Malaysia, kerajaan merancang untuk memperluaskan Pusat Warga Emas ke seluruh kawasan Parlimen di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara ini berkata, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 dengan 15 peratus daripada jumlah penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.

Justeru, bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada golongan ini, kata beliau dalam hantaran Facebook rasminya pada Jumaat.

“Sehingga hari ini, sebanyak 140 Pusat Warga Emas telah diwujudkan dan kerajaan merancang untuk memperluaskan usaha ini,” katanya.

Tambah beliau, negara juga akan mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang.

“Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluas,” katanya.

Dalam hantaran sama, Ismail Sabri turut memberi ucapan kepada warga emas sempena sambutan Hari Warga Emas. – SB