Ebit Lew, isteri beri keterangan di Bukit Aman semalam

PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew dilaporkan sekali lagi dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kes gangguan seksual didakwa melibatkan dirinya, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, Ebit dan isterinya telah dipanggil bagi mengambil keterangan untuk membantu siasatan.

“Beliau telah hadir bersama isterinya ke Bukit Aman, semalam bagi memenuhi keperluan melengkapkan siasatan,” katanya ringkas.

Terdahulu pada minggu lepas, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan ekoran video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi Telegram didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Abd. Jalil dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini turut memaklumkan, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pada masa sama, kata beliau, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ogos lalu, Abd. Jalil mengesahkan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Ebit mendakwa telah dipanggil polis ekoran fitnah yang disifatkannya sebagai kejam dan melampau. – SB