LEBIH Pentingkan ucapan di Dewan Rakyat berbanding menghadiri penghakiman di mahkamah – itulah ‘jentikan’ dan sindiran pedas Tun Dr. Mahathir Mohamed kepada beberapa ahli parlimen yang sedang berdepan dengan tuduhan mahkamah hari ini.
Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga menempelak mereka dengan berkata Rule of Law Malaysia kini berbeza kerana ramai individu yang telah didapati bersalah masih lagi terus menjadi wakil rakyat.
“Orang-orang ini menasihati kerajaan bagaimana membelanjakan belanjawan kita (negara) dan kumpulan ini boleh hadir dalam dewan dan membuat ucapan panjang-panjang dan tetapi tak ada masa untuk menghadapi hakim di mahkamah.
“Jadi, keadaan ini perlulah diambil ingatan bahawa yang diutamakan ialah ucapan di dewan, bukan hukuman terhadap kesalahan,” kata beliau ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Antara Ahli Parlimen yang sedang menghadapi prosiding perbicaraan ialah Datuk Seri Najib Razak melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Manakala, Ahli Parlimen pembangkang yang ketika ini sedang menjalani prosiding perbicaraan antaranya, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng membabitkan tuduhan rasuah melibatkan tiga jalan utama dan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.