SERAMAI 58,530 orang yang terjejas akibat Covid-19 berjaya ditempatkan semula dalam sektor pekerjaan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan.
Katanya, seramai 140,608 individu hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 berdasarkan data perangkaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak Mac 2020 sehingga 20 Ogos lalu.
“Kerajaan sedar serta amat prihatin terhadap impak Covid-19 dalam kalangan rakyat. Dalam tempoh tidak menentu ini, ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan memerlukan sokongan dan bantuan.
“Antara tindakan kerajaan bagi menangani kehilangan pekerjaan adalah menyalurkan bantuan dengan membantu Orang Berinsurans yang telah kehilangan pekerjaan.
“Bantuan itu adalah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), iaitu faedah berbentuk kewangan dan bantuan pencarian pekerjaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta kerajaan menjelaskan jumlah orang yang kehilangan pekerjaan sejak pandemik Covid-19 bermula.
Katanya, sejak pelancaran portal MyFutureJobs pada 2020 sehingga 10 September lalu, seramai 1.13 juta pencari pekerja didaftarkan dan sebanyak 2.31 juta kekosongan jawatan diiklankan di platform itu.
“Seramai 64,766 adalah daripada golongan pencari kerja yang kehilangan pekerjaan dan menuntut faedah di bawah SIP, manakala 312,310 adalah golongan pencari kerja awam.
“Portal MyFutureJobs adalah portal pekerjaan sehenti bagi semua pencari kerja dalam negara yang menghimpunkan pelbagai peluang pekerjaan, program ‘reskilling’ (pemahiran semula) dan ‘upskilling’ (peningkatan kemahiran) serta program-program keusahawanan daripada pelbagai agensi,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.